Kajian pelan induk ini dijalankan di Kampung Baru Sungai Buloh yang merangkumi 2 seksyen, iaitu sebahagian Seksyen U4 dan Seksyen U19. Kawasan kajian meliputi kawasan seluas 1,277.13 ekar. Kampung Baru Sungai Buloh terletak di kawasan utara pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), iaitu di Seksyen U4 dan U19. Kawasan ini termasuk di dalam Blok Perancangan Kecil (BPK) 5, Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam (Pengubahan 2) 2020.
Kajian Pelan Induk Kampung Baru Sungai Buloh Seksyen U4 dan U19 dijalankan untuk memastikan pembangunan industri yang terdapat di kawasan terlibat dilengkapi dengan sistem infrastruktur yang baik serta menepati keperluan pembangunan tanpa menjejaskan alam sekitar. Matlamat keseluruhan bagi kajian ini adalah untuk melaksanakan satu perancangan yang menyeluruh dan bersepadu bagi kawasan perindustrian tanpa kebenaran di Kampung Baru Sungai Buloh, Shah Alam, bagi memandu perancangan dan pembangunan industri ke arah pembangunan industri mampan.